Wednesday, 25 January 2017

Seniman S Rosley meninggal dunia


SENIMAN filem Melayu terkenal era 1960-an, S. Rosley meninggal dunia di Singapura awal pagi tadi.

Beliau yang berusia 74 tahun menghembus nafas terakhir sekitar 1.40 pagi, lapor BERITAMediacorp.

Allahyarham dikatakan rebah di bawah kolong blok kediamannya sebelum meninggal dunia di Hospital Besar Changi akibat 'penginfarkan miokardium akut' atau serangan jantung.

Laporan itu memetik kenyataan anaknya iaitu pelakon dan penyanyi Fido Ahdross, 34.

Juga dilaporkan Allahyarham pernah menjalani pembedahan pintasan beberapa tahun lalu.  

Beliau juga terpaksa menggunakan alat perentak jantung sekitar tiga bulan lalu disebabkan jantungnya yang lemah dan tidak berdegup secara konsisten, menurut laporan itu.

S. Rosley yang bersuara serak-serak basah mempamerkan lakonan yang hebat antara lain menerusi filem Anak Buluh Betung, Lampong Karam dan Darma Kesuma.

Seorang anak beliau menerusi akaun Facebooknya Shariffah Fathin Ahdross memaklumkan jenazah bapanya akan dikebumikan selepas solat Zuhur.

"Salam subuh... Harap smua di sini dpt Sedekah kan la Alfateha dan Yassin buat Arwah Abah ku Syed Ahdross Bin Syed Ahmad Alqadry yg telah kembali ke rahmatullallah bru tadi... Amin robbalallamin. Jenazah in shaa allah kebumikan lepas sholat zuhur. Blk 536 Bedok North St 3 #16-890... Wassalam."

Dalam satu temuramah sebelum ini bersama sebuah akhbar Malaysia sekitar 2013, Allahyarham pernah menyatakan bahawa beliau hairan walaupun beliau tidak memegang watak utama dalam filem 'Anak Buloh Betong', nama beliau amat dikenali selepas itu.  

"Dalam semua filem yang saya lakonkan watak yang diberikan adalah watak hero kecuali dalam filem Anak Buloh Betong.

"Cuma agak pelik sedikit kerana walaupun bukan melakonkan watak utama tetapi filem itu yang peminat paling ingat nama saya," kata beliau yang memegang watak jahat sebagai 'Tengku Rangkas' dalam filem itu.

Bapa kepada empat anak ini juga pernah berlakon dalam sebuah filem moden berjudul 'Terlibat' sekitar 1970-an. - Bernama


No comments: