BEBERAPA bulan sebelum Perang Dunia Kedua tamat di Filipina, beberapa pegawai tertinggi tentera Jepun sempat menyembunyikan bertan-tan ketulan emas dan harta karun lain di gua dan terowong-terowong rahsia dengan harapan mereka akan kembali untuk mengambilnya kemudian.
Kesemua harta itu adalah sebahagian daripada khazanah kekayaan yang dirampas dari 12 buah negara Asia termasuk di Tanah Melayu ketika pendudukan tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua.
Menurut pengkaji sejarah Amerika Syarikat (AS) yang mengkaji mengenai harta karun Yamashita, Sterling Seagrave, ketika pasukan tentera Jepun menyerang negara-negara di Asia Tenggara, mereka membawa bersama pasukan khas bagi mencuri, menjarah dan merampas segala barang dan harta bernilai di bank-bank, kilang, rumah, kedai emas, galeri selain merampas milikan orang awam.
Seagrave dalam satu wawancara bersama akhbar South China Morning Post berkata, sebelum pihak Jepun menyerah kalah, Yamashita dan beberapa putera raja mengadakan majlis perpisahan disertai jurutera-juruteranya di dalam terowong bawah tanah sedalam 67 meter di kawasan pergunungan Luzon di Filipina yang dipenuhi dengan ketulan-ketulan emas yang merupakan harta rampasan perang.
Semasa kesemua jurutera itu mabuk dan leka, Yamashita dan putera raja terlibat menyelinap keluar dan memasang bahan letupan dinamit kemudian meletupkan pintu masuk terowong berkenaan, sekali gus menguburkan jurutera-jurutera itu.
Pegawai tertinggi berkenaan melarikan diri ke Tokyo sementara Yamashita pula menyerah kalah kepada Jeneral Douglas MacArthur tiga bulan kemudian. Sejak itu, kisah emas Yamashita menjadi perbualan hangat pelbagai pihak.
Di dalam wawancara itu, Seagrave turut mengakui pernah berjumpa dengan saksi semasa Yamashita meletupkan terowong bawah tanah pada malam tersebut. Katanya, Ben Valmores yang bertugas sebagai pembantu salah seorang putera raja itu dibenarkan keluar dari terowong tersebut sebelum ia diletupkan.
Valmores yang diarahkan menutup semua jalan keluar terowong-terowong Jepun di Filipina memberitahu Seagrave bahawa dia melihat sendiri emas-emas tersebut sebelum ia ditimbus di bawah tanah.
Seagrave kemudian mendakwa sumber kajiannya di Jepun memaklumkan kepadanya bahawa Valmores pernah berkhidmat dengan Putera Takeda Tsuneyoshi, cucu Maharaja Meiji.
Menurut sejarah, Jepun melancarkan kempen perangnya termasuk rancangan membawa pulang segala harta-harta bernilai yang dirampas di setiap negara yang diserang mereka. Melalui perancangan itu, Putera Chichibu telah diarahkan mengawal selia operasi di bawah organisasi dinamakan Kin No Yuri atau lebih popular dengan panggilan Operasi Golden Lily.
Sementara putera raja yang lain pula ditugaskan menyelia Operasi Golden Lily di kawasan-kawasan lain yang ditakluki Jepun ketika itu. Seagrave berkata, pada 1998, dia pernah menguji Valmores dengan menunjukkan gambar lama kesemua putera-putera raja berkenaan yang diambil pada 1930.
Valmores ternyata mengingati Putera Takeda. Katanya, dia pernah meluangkan masa dengan kesemua putera raja itu menghidangkan makanan dan teh ketika mereka sedang menyemak fail-fail kawasan simpanan harta-harta yang dirampas.
Adakah kenyataan Seagrave itu dapat memberi sedikit sebanyak jawapan kepada misteri emas Yamashita ini? Walaupun pelbagai dakwaan dan bukti kenyataan ditampilkan, emas Yamashita akan terus diburu oleh pelbagai pihak yang nyata mempunyai agenda masing-masing.
No comments:
Post a Comment