Terkencing tanpa sengaja adalah masalah berkaitan lemah kawalan pundi kencing (incontinence). Masalah ini bukan penyakit sebaliknya adalah simptom kepada masalah kesihatan dengan saluran kencing lelaki atau kesan pengambilan ubatan.
Lemah kawalan kencing adalah tidak keupayaan mengawal pelepasan air kencing. Kadangkala masalah ini hanya sementara seperti jangkitan saluran kencing dan akan pulih apabila jangkitan itu diubati. Namun, masalah menjadi kronik disebabkan otot dan saraf di sekeliling pundi kencing terjejas.
Banyak faktor membawa kepada masalah lemah kawalan kencing. Kencing tanpa sengaja boleh berlaku sekiranya pundi kencing menguncup pada waktu yang salah atau menguncup terlalu kuat sehingga air kencing terkeluar. Masalah juga berlaku jika otot di sekeliling saluran kencing rosak atau lemah, terlalu banyak air kencing dalam pundi kencing dan saluran kencing tersumbat.
Air kencing dihasilkan oleh buah pinggang dan disimpan dalam kantung berotot dipanggil pundi kencing. Bahan kumuh ini keluar dari tubuh menerusi saluran kencing yang bersambung daripada pundi kencing melalui prostat dan zakar. Di sekeliling saluran kencing ini adalah otot berbentuk cincin yang mengawal bukaan dan kuncupan.
Apabila pundi kencing penuh dengan bahan kumuh, saraf memberi isyarat kepada otot berkenaan untuk menguncup, manakala saluran kencing terbuka. Saraf dan otot sama-sama berfungsi mengelak lemah kawalan kencing.
Ketika datang keinginan untuk membuang air kecil, saraf akan memberi isyarat kepada otot pada dinding pundi kencing untuk menguncup dan ini akan memaksa air kencing keluar dari pundi ke saluran air kencing. Apabila pundi menguncup, saluran air kencing akan terbuka dan bahan kumuh itu dialirkan keluar dari tubuh.
Rawatan untuk lemah kawalan kencing ini berpandu pada puncanya dan beberapa jenis lemah kawalan kencing seperti akibat tekanan dalam perut atau pundi kencing meningkat tiba-tiba (stress incontinence) yang berlaku apabila seseorang bersin, batuk, ketawa kuat, angkat barang berat atau melompat.
Bagi lemah kawalan kencing akibat gesaan yang kuat (urge incontinence) untuk membuang air kecil berlaku apabila pundi kencing menguncup pada waktu yang tidak sepatutnya sehingga terkencing dalam seluar dan tidak sempat masuk tandas walaupun air kencing sedikit.
Manakala pundi kencing yang terlampau penuh (overflow incontinence) kerana kegagalan organ itu mengosongkan kandungan akibat kelemahan otot dan melepaskan air kencing sedikit demi sedikit juga mengakibatkan seseorang kerap ingin kencing.
Lemah kawalan kencing juga berlaku akibat tabiat seseorang yang suka menahan kencing (functional incontinence) sehingga pundi kencing tidak dapat menampung lagi kandungannya dan terkencing sebelum tiba ke tandas.
Masalah kawalan kencing dalam kalangan lelaki biasanya disebabkan masalah prostat atau kesan rawatan penyakit berkaitan prostat seperti pembesaran kelenjar prostat (BPH) yang berlaku seiring dengan peningkatan usia.
Organ itu yang membesar akan menekan saluran kencing sehingga menjejaskan aliran air kencing akibat saluran itu mengecil atau tersumbat. Pembedahan prostat terutama pembuangan prostat (prostatectomy) atau rawatan radiasi untuk kanser prostat juga menyebabkan lemah kawalan kencing.
Walaupun masalah lemah kawalan kencing kerap berlaku dalam kalangan lelaki yang lebih berusia, tetapi masalah terbabit bukan kerana penuaan. Namun, kebanyakan pesakit tidak menemui doktor kerana memikirkan masalah mereka adalah perkara biasa disebab pertambahan usia.
Masalah berkaitan saraf juga membawa kepada lemah kawalan kencing dan ini boleh berlaku pada semua peringkat usia. Kerosakan saraf berlaku akibat menghidap penyakit lain seperti diabetes, strok, Parkinson dan sklerosis berbilang (multiple sclerosis) serta kemalangan yang menyebabkan kecederaan pada saraf.
Punca lain bagi lemah kawalan kencing adalah jangkitan saluran kencing, masalah usus (sembelit), radang kelenjar prostat (prostatitis), sakit buah pinggang, batu karang dan tabiat suka minum banyak air.
Walaupun masalah lemah kawalan kencing tidak berbahaya tetapi ia mendatangkan ketidakselesaan kepada pesakit sehingga menyebabkan kesulitan untuk perkara lain. Lemah kawalan kencing menjejaskan rutin hidup apabila perlu bangun setiap malam untuk membuang air kecil sehingga mengganggu waktu tidur, sedangkan kita perlukan rehat yang cukup selepas seharian bekerja dan melakukan aktiviti pada sebelah siang.
Masalah ini boleh menjejaskan keadaan jasmani dan emosi serta orang lain di sekeliling pesakit. Simptom boleh bertambah buruk jika dibiarkan tanpa rawatan. Ia boleh diatasi dengan rawatan seperti senaman, ubatan dan pembedahan tetapi memerlukan doktor mencari punca masalah terbabit terlebih dulu.
Elakkan juga minuman berkafein, terutamanya hampir dengan waktu tidur bagi mengurangkan kekerapan membuang air kecil. Air kosong atau jus buah sesuai dijadikan ganti untuk diminum pada bila-bila masa.
Bagi warga emas, jangan sekat keperluan cecair harian badan anda. Usia lanjut bermakna badan memerlukan sejumlah cecair yang cukup untuk fungsi organ-organ badan di samping mengelakkan sembelit teruk. Jika anda mahu mengurangkan pengambilan minuman, tetapkan berhenti minum sekitar pukul enam petang atau beberapa jam sebelum tidur.
No comments:
Post a Comment