HUKUM BERSETUBUH SEBELUM ISTERI MANDI WAJIB
Hukum bersetubuh isteri yang baru kering haid tetapi belum mandi adalah haram. Ini kerana faraj dan badan beliau belum lagi suci disebabkan beliau belum angkat hadas besar /mandi wajib. Jika sudah terbuat maka mohon segera bertaubat nasuha kepada Allah disebabkan kelalaian dan mengikut hawa nafsu.
Telah ditegaskan dalam Islam apabila darah haid isteri anda sudah dipastikan kering maka mandi wajiblah dahulu sebelum melakukan jimak. Perkara ini merupakan ketetapan dalam hukum fekah seperti yang telah dinyatakan dalam kebanyakan ulamak dalam bidang berkaitan.
Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab Syafiie, Maliki dan Hanbali); Tidak harus suami menyetubuhi isterinya yang telah kering haid melainkan setelah ia mandi terlebih dahulu. Firman Allah (bermaksud); “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) haid.
Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci” (Surah al-Baqarah, ayat 222). Maksud “sebelum mereka suci” dalam ayat ini menurut jumhur ulamak ialah, sebelum mereka bersuci dengan mandi wajib.
Namun begitu ada sebahagian ulama iaitu Imam Mujahid, Ikrimah, Tawus dan Abu Hanifah mengharuskan jimak apabila sahaja kering darah haid iaitu sekalipun belum mandi wajib. Imam Mujahid, Ikimah dan Tawus mensyaratkan bahawa isteri hendaklah mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum jimak.
Manakala Imam Abu Hanifah pula mengharuskan jimak sebelum mandi jika haid itu berhenti setelah tempoh haid paling lama iaitu 10 hari menurut pandangannya. Jika haid datang kurang dari 10 hari, tidak harus jimak melainkan setelah mandi terlebih dahulu atau dengan masuk waktu solat.
Jadi melakukan seks sebelum mandi wajib hukumnya adalah haram. Islam menitik beratkan menjaga kebersihan dalam setiap urusan. Dari segi kesihatan, mandi wajib memberi kesegaran kepada badan selepas terhentinya darah haid bulanan. Jika belum mandi hadas atau mandi wajib, wanita masih lagi belum suci. Jika suami ingin melakukan hubungan seks, pastikan isteri anda mandi wajib terlebih dahulu. Jangan kerana mengikutkan nafsu yang bergelodak, anda meninggalkan hukum dan amalan kebersihan.
No comments:
Post a Comment